Search This Blog

Tuesday, 28 June 2011

Adab-Adab Berhadapan Dengan Suami


Kehadiran suami di rumah merupakan satu rahmat kepada setiap isteri. Hanya isteri-isteri yang menderhakai suami sahaja menganggap kepulangannya suatu yang dibenci kerana dibebani dengan berbagai kerja dan tanggungjawab.
Amat malang sekali jika ramai lagi isteri-isteri yang masih bersikap sedemikian. Hilanglah matlamat perkahwinan di mana isteri sebagai penenang dan penyeri rumahtangga. Di bawah ini dinyatakan cara-cara berhadapan dengan suami.
1. Semasa suami bercakap hendaklah isteri diam mendengarnya dan jangan suka menyampuk atau memotong cakapnya.
2. Bila suami marah hendaklah isteri mendiamkan diri, jangan suka menjawab. Sikap suka menjawab, bertekak dan menegakkan kebenaran sendiri akan menambahkan lagi kemarahan suami. Jangan terkejut jika suami angkat kaki meninggalkan rumah berhari-hari atau tidak mahu bertegur sapa dengan anda sebagai denda di atas kedegilan anda sebagai isteri. Sebaliknya, kalau suami kembali ke rumah jangan disambung atau diulang-ulangi cerita lama. Sambutlah suami dengan senyuman kasih sayang dan bersegeralah meminta maaf. Jangan kita tunggu suami meminta maaf dengan isteri, jatuhlah martabat keegoannya selaku seorang lelaki.
3. Kadang-kadang si suami sengaja suka mengusik isterinya. Bila dia menyakiti hati isteri hendaklah banyak bersabar, jangan cepat merajuk. Merajuk adalah sifat orang yang tidak matang dan seperti perangai keanak-anakan. Cuba kita perhatikan perangai kanak-kanak, mereka akan cepat menjerit bila ada sesuatu yang tidak kena tambahan pula kalau yang menegurnya itu ibunya sendiri. Sengaja dihentak-hentakkan kaki meraung sekuat hati meminta simpati dari ibunya.
4. Bila kuku, misai dan janggutnya panjang hendaklah segera dipotongkan (jika panjang janggutnya lebih dari segenggam).
5. Jika dia berhajat sesuatu hendaklah isteri cepat bertindak. Bangun segera bila disuruh. Jangan melengah-lengahkan kemahuannya supaya tidak mencetuskan kemarahan atau rasa tersinggung dihatinya. Jangan isteri buat acuh tak acuh, hatinya akan kecewa dan menandakan isteri sudah tidak taat padanya.
6. Hendaklah memasak mengikut kesukaan suami bukannya ikut selera isteri. Kalau suami suka makan gulai kari atau masak lemak cili api, janganlah kita masak lauk asam pedas atau ikan goreng. Suami akan gembira bila seleranya ditepati. Janganlah pula ikan yang menjadi mangsa, diketuk lengkang-lengkung hingga hancur kerana meradangkan sikap suami yang mahu lauk tersebut dimasak mengikut seleranya sedangkan isteri tidak menggemarinya.
7. Apabila pakaian suami koyak atau tercabut butangnya hendaklah segera dijahit. Jahitlah dengan secantik yang boleh supaya pakaian itu kelihatan kemas dan cantik. Jangan dibuat sambil lewa kerana jahitan tersebut akan melambangkan peribadi isteri samada ikhlas atau terpaksa. Semua suami akan berasa bangga jika pakaiannya dijahit sendiri oleh jari-jemari halus isterinya, sekurang-kurangnya dapat menampung ekonomi rumahtangga.
8. Sentiasa sediakan barang-barang keperluan di dalam poket baju dan seluar suami iaitu sikat, celak, cermin kecil, minyak wangi dan kayu sugi. Tidak menjadi kesalahan seandainya si suami menolak segala persediaan tersebut tetapi sekurang-kurangnya sediakanlah minyak wangi dan kayu sugi.
9. Bila bertembung kehendak suami dan anak-anak, dahulukanlah kehendak suami, begitu juga dengan kehendak ibu ayah. Sekiranya suami ingin dilayan hendaklah ditaati meskipun isteri berada di dalam keadaan letih. Melayani suami merupakan satu pahala besar keatas setiap isteri.
10. Apabila menggunakan harta suami ataupun duit yang hendak kita hadiahkan kepada ibu bapa maka mintalah izin darinya terlebih dahulu. Jangan beri dahulu kemudian baharu diberitahu kepadanya. Siapa tahu mungkin wang itu amat diperlukan sedangkan isteri sewenang-wenangnya telah menghadiahkan kepada orang lain, suami dapat pahala sedangkan isteri tidak dapat apa-apa. Sebenarnya meminta izin itu ialah sebelum melakukan sesuatu tindakan bukannya setelah perkara itu berlaku diberitahu. Ini silap sebenarnya tapi kes-kes seperti inilah yang sering berlaku di kalangan para isteri.
11. Sentiasa berada di dalam keadaan bersih dan kemas ketika suami berada di rumah. Isteri hendaklah berada di dalam keadaan berwangi-wangian supaya hatinya senang untuk bersenda gurau dengan isterinya. Ketahuilah bahawa bersenda gurau antara suami isteri juga merupakan salah satu ibadah yang diredhai oleh Allah swt.
12. Air minum suami hendaklah sentiasa disiapkan jangan sampai dia minta biarpun sekadar air masak sejuk. Sebaik-baiknya sediakanlah minuman panas seperti kopi, teh atau susu. Air panas elok disimpan di dalam termos supaya memudah dan menjimatkan masa kita. Kalau boleh sediakan kuih-kuih ringan seperti karipap, cucur, bubur, apam ataupun biskut kering. Hal ini juga dapat mengelak anak-anak dari membeli makanan ringan di kedai yang tidak mengandungi zat di samping tidak terjamin kebersihannya.
Akhir kata hendaklah isteri sentiasa menghormati dan memuliakan keluarga suami. Bersikap ramah-tamahlah dengan keluarganya dan bersabarlah di atas segala tindakan mereka jika ada yang bertentangan dengan syariat. Di sinilah peranan isteri untuk berdakwah kepada mereka tetapi biarlah berhikmah dan kena caranya agar setiap tindak-tanduk kita dikasihi dan dihargai oleh mereka seterusnya menjadi menantu atau ipar yang dicontohi akhlak, peribadi dan ibadahnya.

Tuesday, 21 June 2011

Suami Idaman Wanita

Isteri adalah untuk dikasihi dan disayangi dengan penuh kasih sayang. Isteri bukan tempat untuk si suami melepaskan amarah yang tiada berkesudahan . Isteri adalah makhluk tuhan yang perlu dibelai, dididik dan dihormati setiap masa.
Setiap hari ada sahaja kisah menyayat hati para isteri yang didera si suami didengari dan tertulis di akhbar. Ada antara mereka yang dilanda trauma yang teruk, didera, dipukul, disepak terajang dan banyak lagi. Sesetengah para suami yang menjadi kaki dera ini beranggapan si isteri layak 'diajar' sedemikian rupa agar tidak mengulangi kesalahan yang sama. Ada juga antara para suami yang menjadi kaki dera kerana telah berasa bosan dengan isterinya yang dianggap tidak menarik lagi dan sebagainya. Malah ada juga yang cuba mencari 'syurga' diluar dengan berlaku curang terhadap isterinya.
Apabila banyak kisah sebegini dipaparkan di dada akhbar dan majalah, semakin ramailah wanita takut untuk mendirikan rumah tangga dan berkahwin kerana mereka khuatir sekiranya hubungan mereka itu juga akan berakhir dengan kisah tragis didera suami atau dicurangi suami .
Persoalannya, adakah ini salah lelaki yang bergelar suami yang tidak tahu menghargai para isteri ataupun salah para isteri yang tidak pandai melayan hati suami?
Lebih baik kita usah menunding jari antara satu sama lain. Baik para suami mahupun para isteri masing- masing tidak patut dipersalahkan . Sekiranya para suami dan isteri sama-sama menjalankan tanggungjawab sebagai suami-isteri seperti yang telah digariskan didalam Al-Qur'an dan As-sunnah sudah tentu tidak akan timbul kes-kes penderaan isteri dan kes-kes curang terhadap pasangan masing-masing.
Banyak kisah-kisah Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang dapat para suami jadikan contoh dalam melayari kehidupan berumah tangga agar rumahtangga sentiasa harmoni dan diredhai Allah s.w.t
 Kerana Sifat Al-Amin, Siti Khadijah terpikat
Rasulullah s.a.w telah digelar dengan gelaran Al-Amin oleh para penduduk Kota Mekah kerana beliau telah diberi amanah oleh para pemuda Quraisy ketika isu untuk meletakkan Hajar Al-Aswad timbul. Baginda telah diberikan amanah tersebut kerana seluruh Kota Mekah mengenali baginda dengan sikap baginda yang amanah dan boleh dipercayai.
Abu Lahab pernah cuba meminang Siti Khadijah melalui Abu Thalib. Namun, Abu Thalib telah menolaknya dan Abu Thalib berkata :
"Dalam pertemuanku itu, Khadijah mengatakan dia memerlukan seorang lelaki yang dapat dipercayai bagi menjalankan perniagaannya. Dia berpesan supaya mencarikannya seorang lelaki yang jujur dan dapat dipercayai. Ayah tidak nampak orang lain selain kamu, wahai Muhammad."
Agak-agaknya apakah ciri-ciri orang yang boleh dipercayai yang dimaksudkan Siti Khadijah r.a? Antaranya adalah mempunyai tutur kata yang baik, amanah, jujur serta tidak berbohong.
Wahai para suami dan lelaki diluar sana adakah sukar bagi anda semua untuk mempunyai ciri-ciri murni seperti yang diatas? Sekiranya sukar, muhasabahlah kembali diri anda mengapa ianya menjadi sukar sedangkan ia tidak mustahil untuk dipraktikkan. 
Keberanian dan ketulusan Saidina Ali r.a
Dua sahabat terkemuka iaitu Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar telah cuba meminang Fatimah, namun pinangan mereka ditolak dengan baik oleh Rasulullah.
Namun yang akhirnya bernikah dengan Saidatina Fatimah adalah Saidina Ali r.a.
Apakah yang menyebabkan Saidina Ali r.a dipilih oleh Rasulullah s.a.w sebagai menantu baginda? Jelas Rasulullah s.a.w memilih Saidina Ali r.a sebagai menantu baginda kerana sifat keberanian yang terselah dalam diri Saidina Ali r.a. Sejauh manakah keberanian Saidina Ali r.a yang telah menyebabkan beliau dipilih oleh baginda Nabi menjadi menantu baginda? Antara keberanian Saidina Ali r.a sebelum perkahwinan beliau dengan Siti Fatimah r.a lagi, Saidina Ali memang sentiasa berdamping dengan Rasulullah s.a.w. Akhirnya, beliau sendiri berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w dan menyatakan hasrat beliau untuk mengahwini Saidatina Fatimah r.a.
Berlainan dengan para lelaki zaman sekarang yang hanya berani dan rapat dengan keluarga bakal mertua ketika sebelum berkahwin dengan bakal isteri sahaja. Apabila sudah berkahwin, keluarga mertua sering dilupakan dan tidak diziarahi seperti sebelumnya. Malah ada para isteri yang tidak dibenarkan melawat keluarganya apabila sudah berkahwin.
 Keikhlasan cinta Abu Salamah
Abu Salamah merupakan saudara susuan kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w. Beliau telah ditakdirkan bertemu jodoh dengan sepupu Khalid al-Walid, yakni Hindun binti Abu Umayyah atau lebih dikenali sebagai Ummu Salamah.
Ummu Salamah merupakan seorang wanita yang sangat cantik, mulia, terhormat dan bijaksana. Cintanya kepada Abu Salamah terlalu besar. Abu Salamah merupakan seorang pahlawan Islam yang berani dan terbilang, beliau sering tercedera ketika berjuang di medan peperangan. Setiap kali Abu Salamah tercedera, Ummu Salamah akan menumpukan sepenuh perhatiannya untuk merawat suaminya yang tercinta.
Namun, telah ditakdirkan jodoh mereka tidak berpanjangan. Abu Salamah pergi meninggalkan Ummu Salamah ketika luka lamanya semasa perperangan berdarah kembali. Saat-saat sebelum pemergian Abu Salamah, Ummu Salamah berkata :
"Kandaku sayang! Dinda mendengar bahawa jika seorang isteri ditinggal mati oleh suaminya, sementara suaminya itu menjadi penghuni syurga dan isterinya tidak menikah lagi, maka Allah mengumpul mereka kembali ke alam syurga. Maka berjanjilah wahai kekasihku, kanda tidak akan menikah lagi, seandainya dinda pergi dulu. Dinda juga akan berjanji akan tidak menikah lagi andai kanda pergi dulu.
Abu Salamah memang mencintai isterinya, dan mengharapkan wanita solehah, secantik dan sebijak isterinya dimiliki oleh seorang yang lebih baik darinya. Dalam tenat berbicara, Abu Salamah membuat keputusan yang terbaik buat isterinya.
"Mahukah dinda taat kepada kanda?' kata Abu Salamah.
"Sudah tentu wahai kekasihku," jawab Ummu Salamah.
"Berjanjilah, jika kanda pergi terlebih dahulu, maka menikahlah lagi," pinta Abu Salamah. Ummu Salamah terkedu, air matanya bercucuran hiba.
"Ya Allah, jika aku mati terlebih dahulu, maka berikanlah Ummu Salamah seorang suami yang lebih baik daripadaku yang tidak akan membuatnya sedih dan menyakitinya," doa Abu Salamah dalam kepayahan.
Abu Salamah berdoa untuk isterinya sebelum dia meninggal dunia, agar isterinya memperoleh kebaikan yang tak terhingga tatkala dia menutup mata.
Demikianlah keikhlasan cinta seorang suami kepada isterinya, memikirkan yang terbaik untuk isterinya, dan akhirnya, Ummu Salamah bernikah dengan Rasulullah s.a.w 
Romantis ala Rasulullah
Sebut perkataan romantis pasti ada antara kalian yang membayangkan romantis jiwang seperti yang selalu dipaparkan didalam drama atau filem-filem cinta. Namun romantik ala Rasulullah berbeza dengan gambaran romantis yang digambar kan didalam drama mahupun filem-filem cinta. Romantik adalah penghubung kemesraan dalam berumahtangga. Pernah suatu ketika Nabi Muhammad s.a.w keluar menyambut salam dari sahabatnya, dan sahabatnya melihat tangan baginda terdapat tepung. Rupa-rupanya ketika itu baginda sedang membantu isterinya menguli tepung didapur.
Rasulullah s.a.w juga cukup romantik ketika menegur isteri-isteri baginda. Pernah suatu ketika Saidatina Aisyah memasak sesuatu, dan menjemput baginda nabi merasainya. Saidatina Aisyah bertanya tentang masakannya. Lantas, Nabi Muhammad s.a.w sendiri menyuapkan makanan itu ke dalam mulut Aisyah. Tahulah Aisyah mengenai masakannya itu.
Daripada Aisyah r.a, beliau berkata : "Saya biasa minum daripada cawan yang sama ketika haid, lalu Nabi mengambil cawan itu dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut saya".
"Lalu baginda minum, kemudian saya mengambil cawan, lalu saya menghirup isinya. Kemudian baginda mengambilnya daripada saya, lalu beliau meletakkan mulutnya pada tempat saya meletakkan mulut saya, lalu beliau pun menghirupnya." (Hadis riwayat Abdurrazaq dan Sa'id bin Manshur).
******************************
Sebenarnya banyak lagi kisah-kisah hidup bersuami isteri yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda untuk dijadikan contoh dan teladan buat para suami masa kini agar sentiasa berhemah dan berhikmah dalam menguruskan keluarga dan rumah tangga.
Kepada para suami dan para lelaki yang bakal menjadi suami, bangkitlah menjadi lelaki yang berkualiti bukan lelaki yang dibenci oleh wanita dan Allah s.w.t.