Search This Blog

bicara kata..

Tuesday, 28 June 2011

Adab-Adab Berhadapan Dengan Suami


Kehadiran suami di rumah merupakan satu rahmat kepada setiap isteri. Hanya isteri-isteri yang menderhakai suami sahaja menganggap kepulangannya suatu yang dibenci kerana dibebani dengan berbagai kerja dan tanggungjawab.
Amat malang sekali jika ramai lagi isteri-isteri yang masih bersikap sedemikian. Hilanglah matlamat perkahwinan di mana isteri sebagai penenang dan penyeri rumahtangga. Di bawah ini dinyatakan cara-cara berhadapan dengan suami.
1. Semasa suami bercakap hendaklah isteri diam mendengarnya dan jangan suka menyampuk atau memotong cakapnya.
2. Bila suami marah hendaklah isteri mendiamkan diri, jangan suka menjawab. Sikap suka menjawab, bertekak dan menegakkan kebenaran sendiri akan menambahkan lagi kemarahan suami. Jangan terkejut jika suami angkat kaki meninggalkan rumah berhari-hari atau tidak mahu bertegur sapa dengan anda sebagai denda di atas kedegilan anda sebagai isteri. Sebaliknya, kalau suami kembali ke rumah jangan disambung atau diulang-ulangi cerita lama. Sambutlah suami dengan senyuman kasih sayang dan bersegeralah meminta maaf. Jangan kita tunggu suami meminta maaf dengan isteri, jatuhlah martabat keegoannya selaku seorang lelaki.
3. Kadang-kadang si suami sengaja suka mengusik isterinya. Bila dia menyakiti hati isteri hendaklah banyak bersabar, jangan cepat merajuk. Merajuk adalah sifat orang yang tidak matang dan seperti perangai keanak-anakan. Cuba kita perhatikan perangai kanak-kanak, mereka akan cepat menjerit bila ada sesuatu yang tidak kena tambahan pula kalau yang menegurnya itu ibunya sendiri. Sengaja dihentak-hentakkan kaki meraung sekuat hati meminta simpati dari ibunya.
4. Bila kuku, misai dan janggutnya panjang hendaklah segera dipotongkan (jika panjang janggutnya lebih dari segenggam).
5. Jika dia berhajat sesuatu hendaklah isteri cepat bertindak. Bangun segera bila disuruh. Jangan melengah-lengahkan kemahuannya supaya tidak mencetuskan kemarahan atau rasa tersinggung dihatinya. Jangan isteri buat acuh tak acuh, hatinya akan kecewa dan menandakan isteri sudah tidak taat padanya.
6. Hendaklah memasak mengikut kesukaan suami bukannya ikut selera isteri. Kalau suami suka makan gulai kari atau masak lemak cili api, janganlah kita masak lauk asam pedas atau ikan goreng. Suami akan gembira bila seleranya ditepati. Janganlah pula ikan yang menjadi mangsa, diketuk lengkang-lengkung hingga hancur kerana meradangkan sikap suami yang mahu lauk tersebut dimasak mengikut seleranya sedangkan isteri tidak menggemarinya.
7. Apabila pakaian suami koyak atau tercabut butangnya hendaklah segera dijahit. Jahitlah dengan secantik yang boleh supaya pakaian itu kelihatan kemas dan cantik. Jangan dibuat sambil lewa kerana jahitan tersebut akan melambangkan peribadi isteri samada ikhlas atau terpaksa. Semua suami akan berasa bangga jika pakaiannya dijahit sendiri oleh jari-jemari halus isterinya, sekurang-kurangnya dapat menampung ekonomi rumahtangga.
8. Sentiasa sediakan barang-barang keperluan di dalam poket baju dan seluar suami iaitu sikat, celak, cermin kecil, minyak wangi dan kayu sugi. Tidak menjadi kesalahan seandainya si suami menolak segala persediaan tersebut tetapi sekurang-kurangnya sediakanlah minyak wangi dan kayu sugi.
9. Bila bertembung kehendak suami dan anak-anak, dahulukanlah kehendak suami, begitu juga dengan kehendak ibu ayah. Sekiranya suami ingin dilayan hendaklah ditaati meskipun isteri berada di dalam keadaan letih. Melayani suami merupakan satu pahala besar keatas setiap isteri.
10. Apabila menggunakan harta suami ataupun duit yang hendak kita hadiahkan kepada ibu bapa maka mintalah izin darinya terlebih dahulu. Jangan beri dahulu kemudian baharu diberitahu kepadanya. Siapa tahu mungkin wang itu amat diperlukan sedangkan isteri sewenang-wenangnya telah menghadiahkan kepada orang lain, suami dapat pahala sedangkan isteri tidak dapat apa-apa. Sebenarnya meminta izin itu ialah sebelum melakukan sesuatu tindakan bukannya setelah perkara itu berlaku diberitahu. Ini silap sebenarnya tapi kes-kes seperti inilah yang sering berlaku di kalangan para isteri.
11. Sentiasa berada di dalam keadaan bersih dan kemas ketika suami berada di rumah. Isteri hendaklah berada di dalam keadaan berwangi-wangian supaya hatinya senang untuk bersenda gurau dengan isterinya. Ketahuilah bahawa bersenda gurau antara suami isteri juga merupakan salah satu ibadah yang diredhai oleh Allah swt.
12. Air minum suami hendaklah sentiasa disiapkan jangan sampai dia minta biarpun sekadar air masak sejuk. Sebaik-baiknya sediakanlah minuman panas seperti kopi, teh atau susu. Air panas elok disimpan di dalam termos supaya memudah dan menjimatkan masa kita. Kalau boleh sediakan kuih-kuih ringan seperti karipap, cucur, bubur, apam ataupun biskut kering. Hal ini juga dapat mengelak anak-anak dari membeli makanan ringan di kedai yang tidak mengandungi zat di samping tidak terjamin kebersihannya.
Akhir kata hendaklah isteri sentiasa menghormati dan memuliakan keluarga suami. Bersikap ramah-tamahlah dengan keluarganya dan bersabarlah di atas segala tindakan mereka jika ada yang bertentangan dengan syariat. Di sinilah peranan isteri untuk berdakwah kepada mereka tetapi biarlah berhikmah dan kena caranya agar setiap tindak-tanduk kita dikasihi dan dihargai oleh mereka seterusnya menjadi menantu atau ipar yang dicontohi akhlak, peribadi dan ibadahnya.

Tuesday, 21 June 2011

Suami Idaman Wanita

Isteri adalah untuk dikasihi dan disayangi dengan penuh kasih sayang. Isteri bukan tempat untuk si suami melepaskan amarah yang tiada berkesudahan . Isteri adalah makhluk tuhan yang perlu dibelai, dididik dan dihormati setiap masa.
Setiap hari ada sahaja kisah menyayat hati para isteri yang didera si suami didengari dan tertulis di akhbar. Ada antara mereka yang dilanda trauma yang teruk, didera, dipukul, disepak terajang dan banyak lagi. Sesetengah para suami yang menjadi kaki dera ini beranggapan si isteri layak 'diajar' sedemikian rupa agar tidak mengulangi kesalahan yang sama. Ada juga antara para suami yang menjadi kaki dera kerana telah berasa bosan dengan isterinya yang dianggap tidak menarik lagi dan sebagainya. Malah ada juga yang cuba mencari 'syurga' diluar dengan berlaku curang terhadap isterinya.
Apabila banyak kisah sebegini dipaparkan di dada akhbar dan majalah, semakin ramailah wanita takut untuk mendirikan rumah tangga dan berkahwin kerana mereka khuatir sekiranya hubungan mereka itu juga akan berakhir dengan kisah tragis didera suami atau dicurangi suami .
Persoalannya, adakah ini salah lelaki yang bergelar suami yang tidak tahu menghargai para isteri ataupun salah para isteri yang tidak pandai melayan hati suami?
Lebih baik kita usah menunding jari antara satu sama lain. Baik para suami mahupun para isteri masing- masing tidak patut dipersalahkan . Sekiranya para suami dan isteri sama-sama menjalankan tanggungjawab sebagai suami-isteri seperti yang telah digariskan didalam Al-Qur'an dan As-sunnah sudah tentu tidak akan timbul kes-kes penderaan isteri dan kes-kes curang terhadap pasangan masing-masing.
Banyak kisah-kisah Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang dapat para suami jadikan contoh dalam melayari kehidupan berumah tangga agar rumahtangga sentiasa harmoni dan diredhai Allah s.w.t
 Kerana Sifat Al-Amin, Siti Khadijah terpikat
Rasulullah s.a.w telah digelar dengan gelaran Al-Amin oleh para penduduk Kota Mekah kerana beliau telah diberi amanah oleh para pemuda Quraisy ketika isu untuk meletakkan Hajar Al-Aswad timbul. Baginda telah diberikan amanah tersebut kerana seluruh Kota Mekah mengenali baginda dengan sikap baginda yang amanah dan boleh dipercayai.
Abu Lahab pernah cuba meminang Siti Khadijah melalui Abu Thalib. Namun, Abu Thalib telah menolaknya dan Abu Thalib berkata :
"Dalam pertemuanku itu, Khadijah mengatakan dia memerlukan seorang lelaki yang dapat dipercayai bagi menjalankan perniagaannya. Dia berpesan supaya mencarikannya seorang lelaki yang jujur dan dapat dipercayai. Ayah tidak nampak orang lain selain kamu, wahai Muhammad."
Agak-agaknya apakah ciri-ciri orang yang boleh dipercayai yang dimaksudkan Siti Khadijah r.a? Antaranya adalah mempunyai tutur kata yang baik, amanah, jujur serta tidak berbohong.
Wahai para suami dan lelaki diluar sana adakah sukar bagi anda semua untuk mempunyai ciri-ciri murni seperti yang diatas? Sekiranya sukar, muhasabahlah kembali diri anda mengapa ianya menjadi sukar sedangkan ia tidak mustahil untuk dipraktikkan. 
Keberanian dan ketulusan Saidina Ali r.a
Dua sahabat terkemuka iaitu Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar telah cuba meminang Fatimah, namun pinangan mereka ditolak dengan baik oleh Rasulullah.
Namun yang akhirnya bernikah dengan Saidatina Fatimah adalah Saidina Ali r.a.
Apakah yang menyebabkan Saidina Ali r.a dipilih oleh Rasulullah s.a.w sebagai menantu baginda? Jelas Rasulullah s.a.w memilih Saidina Ali r.a sebagai menantu baginda kerana sifat keberanian yang terselah dalam diri Saidina Ali r.a. Sejauh manakah keberanian Saidina Ali r.a yang telah menyebabkan beliau dipilih oleh baginda Nabi menjadi menantu baginda? Antara keberanian Saidina Ali r.a sebelum perkahwinan beliau dengan Siti Fatimah r.a lagi, Saidina Ali memang sentiasa berdamping dengan Rasulullah s.a.w. Akhirnya, beliau sendiri berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w dan menyatakan hasrat beliau untuk mengahwini Saidatina Fatimah r.a.
Berlainan dengan para lelaki zaman sekarang yang hanya berani dan rapat dengan keluarga bakal mertua ketika sebelum berkahwin dengan bakal isteri sahaja. Apabila sudah berkahwin, keluarga mertua sering dilupakan dan tidak diziarahi seperti sebelumnya. Malah ada para isteri yang tidak dibenarkan melawat keluarganya apabila sudah berkahwin.
 Keikhlasan cinta Abu Salamah
Abu Salamah merupakan saudara susuan kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w. Beliau telah ditakdirkan bertemu jodoh dengan sepupu Khalid al-Walid, yakni Hindun binti Abu Umayyah atau lebih dikenali sebagai Ummu Salamah.
Ummu Salamah merupakan seorang wanita yang sangat cantik, mulia, terhormat dan bijaksana. Cintanya kepada Abu Salamah terlalu besar. Abu Salamah merupakan seorang pahlawan Islam yang berani dan terbilang, beliau sering tercedera ketika berjuang di medan peperangan. Setiap kali Abu Salamah tercedera, Ummu Salamah akan menumpukan sepenuh perhatiannya untuk merawat suaminya yang tercinta.
Namun, telah ditakdirkan jodoh mereka tidak berpanjangan. Abu Salamah pergi meninggalkan Ummu Salamah ketika luka lamanya semasa perperangan berdarah kembali. Saat-saat sebelum pemergian Abu Salamah, Ummu Salamah berkata :
"Kandaku sayang! Dinda mendengar bahawa jika seorang isteri ditinggal mati oleh suaminya, sementara suaminya itu menjadi penghuni syurga dan isterinya tidak menikah lagi, maka Allah mengumpul mereka kembali ke alam syurga. Maka berjanjilah wahai kekasihku, kanda tidak akan menikah lagi, seandainya dinda pergi dulu. Dinda juga akan berjanji akan tidak menikah lagi andai kanda pergi dulu.
Abu Salamah memang mencintai isterinya, dan mengharapkan wanita solehah, secantik dan sebijak isterinya dimiliki oleh seorang yang lebih baik darinya. Dalam tenat berbicara, Abu Salamah membuat keputusan yang terbaik buat isterinya.
"Mahukah dinda taat kepada kanda?' kata Abu Salamah.
"Sudah tentu wahai kekasihku," jawab Ummu Salamah.
"Berjanjilah, jika kanda pergi terlebih dahulu, maka menikahlah lagi," pinta Abu Salamah. Ummu Salamah terkedu, air matanya bercucuran hiba.
"Ya Allah, jika aku mati terlebih dahulu, maka berikanlah Ummu Salamah seorang suami yang lebih baik daripadaku yang tidak akan membuatnya sedih dan menyakitinya," doa Abu Salamah dalam kepayahan.
Abu Salamah berdoa untuk isterinya sebelum dia meninggal dunia, agar isterinya memperoleh kebaikan yang tak terhingga tatkala dia menutup mata.
Demikianlah keikhlasan cinta seorang suami kepada isterinya, memikirkan yang terbaik untuk isterinya, dan akhirnya, Ummu Salamah bernikah dengan Rasulullah s.a.w 
Romantis ala Rasulullah
Sebut perkataan romantis pasti ada antara kalian yang membayangkan romantis jiwang seperti yang selalu dipaparkan didalam drama atau filem-filem cinta. Namun romantik ala Rasulullah berbeza dengan gambaran romantis yang digambar kan didalam drama mahupun filem-filem cinta. Romantik adalah penghubung kemesraan dalam berumahtangga. Pernah suatu ketika Nabi Muhammad s.a.w keluar menyambut salam dari sahabatnya, dan sahabatnya melihat tangan baginda terdapat tepung. Rupa-rupanya ketika itu baginda sedang membantu isterinya menguli tepung didapur.
Rasulullah s.a.w juga cukup romantik ketika menegur isteri-isteri baginda. Pernah suatu ketika Saidatina Aisyah memasak sesuatu, dan menjemput baginda nabi merasainya. Saidatina Aisyah bertanya tentang masakannya. Lantas, Nabi Muhammad s.a.w sendiri menyuapkan makanan itu ke dalam mulut Aisyah. Tahulah Aisyah mengenai masakannya itu.
Daripada Aisyah r.a, beliau berkata : "Saya biasa minum daripada cawan yang sama ketika haid, lalu Nabi mengambil cawan itu dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut saya".
"Lalu baginda minum, kemudian saya mengambil cawan, lalu saya menghirup isinya. Kemudian baginda mengambilnya daripada saya, lalu beliau meletakkan mulutnya pada tempat saya meletakkan mulut saya, lalu beliau pun menghirupnya." (Hadis riwayat Abdurrazaq dan Sa'id bin Manshur).
******************************
Sebenarnya banyak lagi kisah-kisah hidup bersuami isteri yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda untuk dijadikan contoh dan teladan buat para suami masa kini agar sentiasa berhemah dan berhikmah dalam menguruskan keluarga dan rumah tangga.
Kepada para suami dan para lelaki yang bakal menjadi suami, bangkitlah menjadi lelaki yang berkualiti bukan lelaki yang dibenci oleh wanita dan Allah s.w.t.

Tuesday, 24 May 2011

Izinkan Abang Nikah Satu Lagi......


"Sayang, Abang minta izin untuk nikah sorang lagi," Aliyah yang sedang melipat kain, terdiam seketika.
Mungkin terkedu. Adakah pendengarannya kian kabur lantaran usianya yang kian beranjak.
Adakah dialog tadi hanya dilafazkan di dalam TV, sementelah TV juga dipasang.
Tapi, ahh bukanlah. TV sedang menayangkan iklan Sunsilk, mustahil sudah ada siri baru iklan Sunsilk?
Dia menghela nafas panjang.
Dia memandang sekali imbas wajah Asraf Mukmin, kemudian tersenyum.
Meletakkan kain yang telah siap dilipat di tepi, bangun lantas menuju ke dapur. Langkahnya diatur tenang.
Segelas air sejuk diteguk perlahan. Kemudian dia ke bilik Balqis, Sumayyah, Fatimah. Rutin hariannya, mencium puteri-puterinya sebelum dia masuk tidur.
 Dahulu, semasa puterinya kecil lagi, rutin itu dilakukan dengan suaminya.
Kini, anak-anak kian beranjak remaja dan kemudian, dia menjenguk bilik putera bujangnya yang berdua, si kembar, Solehin dan Farihin, lalu pengabisannya dia kembali kepada suaminya.
Asraf Mukmin hanya diam, membatu diri. Dia amat mengenali isterinya. Jodoh yang diatur keluarga hampir 16 tahun yang lepas menghadiahkan dia sebuah keluarga yang bahagia, Aliyah adalah ikon isteri solehah.
Namun, kehadiran Qistina, gadis genit yang menjawat jawatan pembantu tadbir kesetiausahaan di jabatannya benar-benar membuatkan dia lemah.
"Kau mampu Asraf, dengan gaji kau, aku rasa kau mampu untuk beri makan 2 keluarga," sokongan Hanif, teman sepejabat menguatkan lagi hujah apabila dia berdepan dengan Aliyah.
"Abang Asraf, Qis tak kisah. Qis sanggup bermadu jika itu yang ditakdirkan. Bimbinglah Qis, Qis perlukan seseorang yang mampu memimpin Qis," masih terngiang-ngiang bicara lunak Qis.
Akhir-akhir ini, panas rasanya punggung dia di rumah.
Pagi-pagi, selesai solat subuh, cepat-cepat dia bersiap untuk ke pejabat.
Tidak seperti kelaziman, dia akan bersarapan berjemaah bersama isteri dan anak- anak.
Aduhai, penangan Qis gadis kelahiran Bumi Kenyalang benar-benar menjerat hatinya.
"Abang , Aliyah setuju dengan permintaan Abang. Tapi, Aliyah nak berjumpa dengan wanita tu," Lembut dan tenang sayup-sayup suara isterinya.
Dia tahu, Aliyah bukan seorang yang panas baran.
Aliyah terlalu sempurna, baik tetapi ahh hatinya kini sedang mengilai wanita yang jauh lebih muda.
"Bawa dia ke sini, tinggalkan dia bersama Aliyah selama 1 hari saja, boleh?" pelik benar permintaan isterinya.
Hendak dipengapakan apakah buah hatinya itu? Namun, tanpa sedar dia menganguk, tanda setuju.
Sebab, dia yakin isterinya tidak akan melakukan perkara yang bukan-bukan.
Dan hakikatnya dia seharusnya bersyukur. Terlalu bersyukur.
Kalaulah isterinya itu wanita lain, alamatnya perang dunia meletus lah jawabnya. Melayanglah periuk belanga.
Ehhh, itu zaman dulu-dulu. Zaman sekarang ni, isteri-isteri lebih bijak.
Teringat dia kisah seorang tentera yang disimbah dengan asid, gara-gara menyuarakan keinginan untuk menambah cawangan lagi satu.
Kecacatan seumur hidup diterima sebagai hadiah sebuah perkahwinan yang tidak sempat dilangsungkan. Dan dia, hanya senyuman daripada Aliyah.
"Apa, nak suruh Qis jumpa dengan isteri Abang," terjegil bulat mata Qis yang berwarna hijau. "Kak Aliyah yang minta," masih lembut dia memujuk Qis.
"Biar betul, apa dia nak buat dengan Qis?" "Takutlah Qis, silap haribulan dia bunuh Qis!" terkejut Asraf Mukmin.
"Percayalah Qis, Aliyah bukan macam tu orangnya. Abang dah lama hidup dengannya. Abang faham," Qistina mengalih pandangannya.
Mahu apakah bakal madunya berjumpa dengannya? Dia sering disogokkan dengan pelbagai cerita isteri pertama membuli isteri kedua.
Heh, ini Qistina lah, jangan haraplah jika nak membuli aku.. Desis hati kecil Qistina.
Hari ini genap seminggu Qistina bercuti seminggu.
Seminggu jugalah dia merindu. Puas dicuba untuk menghubungi Qistina, namun tidak berjaya.
Rakan serumah menyatakan mereka sendiri tidak mengetahui ke mana Qistina pergi. Genap seminggu juga peristiwa dia menghantar Qistina untuk ditemuduga oleh Aliyah.
Sedangkan dia diminta oleh Aliyah bermunajat di Masjid Putra.
Di masjid itu, hatinya benar-benar terusik. Sekian lamanya dia tidak menyibukkan dirinya dengan aktiviti keagamaan di Masjid Putra.
Dulu, sebelum dia mengenali Qistina, saban malam dia akan bersama dengan Aliyah serta anak-anaknya, berjemaah dengan qariah masjid dan kemudiannya menghadiri majlis kuliah agama.
Membaca Al-Quran secara bertaranum itu adalah kesukaannya.
Namun, lenggok Qistina melalaikannya. Haruman Qistina memudarkan bacaan taranumnya. Hatinya benar-benar sunyi. Sunyi dengan tasbih, tasmid yang sering dilagukan.
Seharian di Masjid Putra, dia cuba mencari dirinya, Asraf Mukmin yang dulu. Asraf Mukmin anak Imam Kampung Seputih. Asraf Mukmin yang asyik dengan berzanji.
Menitis air matanya. Hatinya masih tertanya-tanya, apakah yang telah terjadi pada hari itu.
Aliyah menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa. Tiada kurangnya layanan Aliyah.
Mulutnya seolah-olah terkunci untuk bertanya hal calon madu Aliyah.
Tit.. tit... sms menjengah masuk ke kantung inbox hensetnya. "Qis minta maaf. Qis bukan pilihan terbaik utk Abang jadikan isteri. Qis tidak sehebat Kak Aliyah. Qis perlu jadikan diri Qis sehebatnya untuk bersama Abang."
Dibawah hensetnya, ada sekeping sampul besar.
Kepada: Asraf Mukmin, Suami yang tersayang...
Asraf Mukmin diburu kehairanan. Sampul berwarna cokelat yang hampir saiz dengan A4 itu dibuka perlahan.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani.
Salam sejahtera buat suami yang tercinta, moga redhaNya sentiasa mengiringi jejak langkahmu. Abang yang dikasihi, genap seminggu sesi temuduga yang Aliyah jalankan pada Qistina.
Terima kasih kerana Abang membawakan Aliyah seorang calon madu yang begitu cantik. Di sini Aliyah kemukakan penilaian Aliyah.
01.Dengan ukuran badan ala-ala model, dia memang mengalahkan Aliyah yang sudah tidak nampak bentuk badan. Baju- bajunya memang mengikut peredaran zaman. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tak sanggup Abang diheret ke neraka kerana menanggung dosa. Sedangkan dosa Abang sendiri pun, masih belum termampu untuk dijawab di akhirat sana , apatah lagi Abang nak menggalas dosa org lain. Aliyah sayangkan Abang...
02.Aliyah ada mengajak dia memasak. Memang pandai dia masak, apatah lagi western food. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tahu selera Abang hanya pada lauk pauk kampung. Tapi tak tahulah pula Aliyah kalau-kalau selera Abang sudah berubah. Tapi, Aliyah masih ingat lagi, masa kita sekeluarga singgah di sebuah restoran western food, Abang muntahkan semua makanan western food tu. Lagi satu, anak-anak kita semuanya ikut selera ayah mereka. Kesian nanti, tak makan la pula anak-anak kita. Aliyah sayangkan Abang...
03.Aliyah ada mengajak dia solat berjemaah. Kelam kabut dibuatnya. Aliyah minta dia jadi Imam. Yelah, nanti dia akan menjadi ibu pada zuriat Abang yang lahir, jadinya Aliyah harapkan dia mampu untuk mengajar anak-anak Abang untuk menjadi imam dan imamah yang beriman. Tapi, kalau dia sendiri pun kelam kabut memakai telekung... Aliyah sayangkan Abang...
Abang yang disayangi, cukuplah rasanya penilaian Aliyah. Kalau diungkap satu persatu, Aliyah tak terdaya. Abg lebih memahaminya. Ini penilaian selama 1 hari, Abang mungkin dapat membuat penilaian yang jauh lebih baik memandangkan Abang mengenalinya lebih dari Aliyah mengenalinya.
Abang yang dicintai, di dalam sampul ini ada borang keizinan berpoligami. Telah siap Aliyah tandatangan. Juga sekeping tiket penerbangan MAS ke Sarawak.
Jika munajat Abang di Masjid Putra mengiayakan tindakan Abang ini, ambillah borang ini, isi dan pergilah kepada Qistina.
Oh ya, lupa nak cakap, Qistina telah berada di Sawarak. Menunggu Abang... Aliyah sayangkan Abg...
Tetapi jika Abg merasakan Qistina masih belum cukup hebat untuk dijadikan isteri Abang, pergilah cari wanita yang setanding dengan Aliyah... Aliyah sayangkan Abg.
Tetapi, jika Abg merasakan Aliyah adalah isteri yang hebat untuk Abang.. tolonglah bukakan pintu bilik ni. Aliyah bawakan sarapan kegemaran Abang, roti canai.. air tangan Aliyah.
Salam sayang, Aliyah Najihah binti Mohd Hazery.

Monday, 23 May 2011

30 Perkara Perempuan Tak Sempat Bagitau Lelaki

Dahsyat sungguh pompuan ni...banyak perkara yang mana perempuan lebih suka difahami secara tersirat. ye ke tak sempat bagitau?silakan baca.  

1. Bila sorang wanita mengatakan dia sedang bersedih,tetapi dia tidak menitiskan airmata,itu bermakna dia sedang menangis di dalam hatinya. 

2. Bila dia tidak menghiraukan kamu selepas kamu menyakiti hatinya, lebih baik kamu beri dia masa untuk menenangkan hatinya semula sebelum kamu menegur dengan ucapan maaf. 
 
3. Wanita sukar nak cari benda yang dia benci tentang orang yang paling dia sayang (sebab itu ramai wanita yang patah hati bila hubungan itu putus di tengah jalan). 

4. Sekiranya sorang wanita jatuh cinta dengan sorang lelaki, lelaki itu akan sentiasa ada di fikirannya walaupun ketika dia sedang keluar dengan lelaki lain. 

5. Bila lelaki yang dia suka dan cinta merenung tajam ke dalam matanya, dia akan cair seperti coklat!! 

6. Wanita memang sukakan pujian tetapi selalu tidak tau macam mana nak menerima pujian. 

7. Jika kamu tidak suka dengan gadis yang sukakan kamu separuh mati,tolak cintanya dengan lembut,jangan berkasar sebab ada satu semangat dalam diri wanita yang kamu tak akan tahu bila dia dah buat keputusan,dia akan lakukan apa saja

8. Sekiranya sorang gadis mula menjauhkan diri darimu selepas kamu tolak cintanya,biarkan dia untuk seketika.Sekiranya kamu masih ingin menganggap dia sorang kawan,cubalah tegur dia perlahan-lahan. 

9. Wanita suka meluahkan apa yang mereka rasa.Muzik,puisi,lukisan dan tulisan adalah cara termudah mereka meluahkan isi hati mereka. 

10. Jangan sesekali beritahu perempuan yang mereka ni lansung tak berguna. 

11. Bersikap terlalu serius boleh mematikan mood wanita. 

12. Bila pertama kali lelaki yang dicintainya dalam diam memberikan respon positif,misalnya menghubunginya melalui telefon,si gadis akan bersikap acuh tak acuh seolah-olah tidak berminat,tetapi sebaik saja ganggang diletakkan,dia akanmenjerit kesukaan dan tak sampai sepuluh minit,semua rakan-rakannya akan tahu berita tersebut. 

13. Sekuntum senyuman memberi seribu erti bagi wanita.Jadi jangan senyum sebarangan. 

14. Jika kamu menyukai sorang wanita,cubalah mulakan denganpersahabatan.Kemudian biarkan dia mengenalimu dengan lebih mendalam. 

15. Jika sorang wanita memberi seribu satu alasan setiap kali kamu ajak keluar,tinggalkan dia sebab dia memang tak berminat denganmu. 

16. Tetapi jika dalam masa yang sama dia menghubungimu atau menunggu panggilan darimu,teruskan usahamu untuk memikatnya. 

17. Jangan sesekali mengagak apa yang dirasakannya.Tanya dia sendiri!! 

18. Selepas sorang gadis jatuh cinta,dia akan sering tertanya-tanya kenapalah aku tak jumpa lelaki ini lebih awal.  

19. Kalau kamu masih tercari-cari cara yang paling romantik untuk memikat hati sorang gadis,cubalah rajin-rajinkan tangan menyelak buku-buku cinta. 

20. Bila setiap kali gambar kelas keluar,benda pertama yang dicari oleh wanita ialah siapa yang berdiri di sebelah buah hatinya, kemudian barulah dirinya sendiri. 

21. Bekas teman lelaki akan sentiasa ada di fikirannya tetapi lelaki yang dicintainya sekarang akan berada di tempat teristimewa iaitu di hatinya!! 

 22. Satu ucapan 'Hi/Assalamualaikum' sahaja sudah cukup menceriakan harinya. 

23. Teman baiknya saja yang tahu apa yang sedang dia rasa dan lalui. 

24. Wanita paling benci lelaki yang berbaik-baik dengan mereka semata-mata nak tackle kawan mereka yang paling cantik. 

25. Cinta bermaksud kesetiaan, ambil berat, jujur dan kebahagiaan tanpa sebarang kompromi. 

26. Semua wanita mahukan sorang lelaki yang cintakan mereka sepenuh hati.. 

 27. Senjata wanita adalah airmata!! 

 28. Wanita suka jika sesekali orang yang disayanginya mengadakan surprise buatnya  (hadiah,bunga atau sekadar kad ucapan romantis). Mereka akan rasa terharu dan merasakan bahawa dirinya dicintai setulus hati. Dengan i! ni dia tak akan ragu-ragu terhadapmu. 

29. Wanita mudah jatuh hati pada lelaki yang ambil berat tentang mereka dan baik terhadapnya. So,kalau nak memikat wanita pandai-pandailah... 

30. Sebenarnya mudah mengambil hati wanita kerana apa yang dia mahu hanyalah perasaan dicintai dan disayangi sepenuh jiwa. 

Note: tidak semestinya 30 perkara diatas semuanya wujud dalam diri setiap wanita..tapi zaman sekarang ni lelaki pun ramai yang 'apply' perkara-perkara diatas tu .  :-)